Refleksi Makro Pengajaran
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Syukur ke hadhrat Ilahi kerana dengan
limpah kurnia-Nya dapat saya sempurnakan makro pengajaran saya bersama dengan
Tahun 3 Mesra pada 7 Oktober 2012. Semasa menjalankan pengajaran makro
tersebut, saya telah dapat mengesan kekuatan dan kelemahan pengajaran saya
sejurus selepas itu. Oleh yang demikian penambahbaikan dapat dilakukan
berkenaan dengan P&P saya di dalam kelas.
Antara kekuatan yang dapat dikesan di
dalan P&P saya ialah saya dapat mengawal kelas dengan baik. Saya telah
membuat persediaan yang agak rapi sebelum memulakan makro pengajaran ini bagi
mengelakkan sebarang masalah timbul semasa sesi P&P. Persediaan awal
sebelum P&P adalah merupakan satu perkara yang amat penting bagi membantu
saya menyampaikan pelajaran dengan baik dan teratur. Oleh yang demikian, aktiviti
set induksi yang dirancang oleh saya telah berjaya menarik minat para pelajar
untuk ke hadapan dan memilih sampul kesukaan mereka. Dengan itu saya berjaya
menimbulkan naluri ingin tahu pelajar apakah tajuk yang akan dipelajari. Ini
akan sedikit sebanyak akan dapat menarik perhatian murid terhadap pelajaran
ini. Seterusnya adalah berkaitan dengan aktiviti berkumpulan, yang mana murid-murid
dapat melibatkan diri secara aktif dalam menyiapkan tugasan yang telah
diberikan. Setiap ahli kumpulan dapat bekerjasama untuk menghasilkan kerja
kumpulan mereka masing-masing. Dengan ini saya dapat mengetahui bahawa
sememangnya di kalangan murid-murid ini mempunyai nilai-nilai murni yang amat
baik dan perlu dipupuk dikalangan mereka.
Terdapat juga kelemahan-kelemahan yang dapat
dikenalpasti semasa menjalankan makro
pengajaran ini. Pertama sekali, adalah dari segi ketepatan masa yang
ditetapkan. Ia sangat penting bagi memastikan proses pengajaran dan
pembelajaran berjalan dengan baik dan lancar. Hasil daripada pemerhatian saya
terhadap rakaman makro pengajaran tersebut, didapati bahawa masa yang digunakan
untuk menjalankan sesuatu langkah pengajaran adalah tidak seiring dengan apa
yang dirancang. Ianya berpunca daripada sikap pelajar yang lambat bergerak dan
lambat memberi respons terhadap penyusunan sampul-sampul yang dipegang oleh
murid-murid lain di hadapan kelas. Hal ini telah menyebabkan masa yang diambil
dalam sesi set induksi adalah agak lama. Selain itu, dengan cara menulis nota
di papan hitam juga telah menyebabkan berlakunya masalah dari segi ketepatan
masa. Walau bagaimanapun, masa keseluruhan pengajaran didapati tidak terlalu
terjejas. Di dalam makro pengajaran ini juga saya kurang menyediakan Alat Bantu
Mengajar yang boleh menarik minat murid. Apa yang saya gunakan adalah hanyalah
lembaran kerja dan buku teks semata-mata. Ini menyebabkan murid-murid agak
bosan dengan bahan yang sudah menjadi kebiasaan. Kelemahan dan kekurangan seterusnya adalah masalah dalam pemantauan kelas, yang mana
guru hanya didapati di hadapan kelas dan memantau murid di setiap penjuru kelas.
Guru seharusnya berjalan dan memantau setiap aktiviti murid. Dengan cara itu,
guru dapat mengawal keadaan dan suasana di dalam bilik darjah dengan lebih
baik, di samping guru itu sendiri dapat membantu murid dengan lebih dekat.
Setiap kelemahan dan kekurangan yang
dikesan memerlukan kepada penambahbaikkan bagi meningkatkan kualiti atau mutu
P&P saya pada masa yang akan datang. Oleh yang demikian, daripada kelemahan
dan kekurangan yang di kesan dalam makro pengajaran tersebut penambahbaikkan
atau perkara yang perlu diperbaiki ialah dari segi ketepatan masa ketika
melaksanakan P&P serta pemantauan murid di dalam kelas. Sememangnya guru
perlu menepati ketepatan masa seperti yang dirancang di dalam RPH, yang mana
ketepatan masa perlulah diikuti seperti yang dirancang bagi memudahkan guru
menyelesaikan setiap bahagian penyampaian pengajaran dari permulaan sesi
sehingga tamat pengajaran.
Guru juga perlu mengikuti kursus yang
berkaitan dengan ICT bagi menambah ilmu kemahiran menggunakan komputer dalam
P&P. Sekiranya guru mahir dalam penggunaan ICT, guru mungkin boleh
mengaplikasikan pada sesi pengajaran terutamanya pada langkah pertama dan
langkah kedua. Ini secara tidak langsung dapat menarik minat murid untuk
belajar dan mereka akan lebih memberi tumpuan dengan tayangan-tayangan yang
dipaparkan di skrin. Dengan ini, guru tidak hanya tertumpu kepada buku teks
semata-semata dan juga kaedah menulis di papan hitam. Oleh yang demikian, pada
masa akan datang saya berjanji akan membawa satu perubahan di dalam P&P
saya. Saya inginkan murid-murid saya mendengar dan memberi sepenuh perhatian
terhadap pengajaran saya di dalam kelas, demi untuk mencapai objektif
pengajaran. Selain itu, kaedah lain kearah penambahbaikan pengajaran saya kelak
ialah saya akan merancang satu sistem peneguhan. Contohnya sekiranya A telah
menunjukkan tingkahlaku yang positif serta memberi tumpuan ketika pengajaran
saya, maka murid tersebut akan diberi peneguhan seperti masa tambahan rehat dan
lain-lain. Namun, peneguhan ini akan berlaku sekiranya kelas saya pada ketika
itu adalah pada waktu sebelum rehat. Jika murid tidak dapat mengikut arahan
saya, maka catatan pelanggaran peraturan di dalam kelas akan meningkat.
Sebaliknya jika murid berkelakuan baik sepanjang pengajaran saya, maka mereka
akan dapat ganjaran dan bukan hukuman. Setiap murid akan suka kepada ganjaran
dan bukan hukuman. Dengan cara ini murid akan lebih menumpukan perhatian semasa
proses P&P dijalankan.
No comments:
Post a Comment